Sunday, March 29, 2009

HMT 329: Pengamatan di Gurney

Pengamatan Lawatan ke Gurney

Pada 22 Mac 2009, pelajar-pelajar kuliah HMT 329 telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Lebuh Gurney dan Plaza Gurney bersama dua orang pengiring iaitu pengajar HMT 329, Dr. Radiah dan seorang pengajar bahasa Korea dari Pusat Pengajian Ilmu Bahasa iaitu Cik Helena. Kami telah menaiki bas pada jam 9.30 pagi dari Universiti Sains Malaysia (USM). Tujuan lawatan kami adalah untuk melihat analisis kontrastif dari segi penjenamaan semula, bentuk hormat, kesalahan bahasa dan penggunaan kata panggilan. Kumpulan kami terdiri daripada Wan Norhana, Siti Nurhuda dan Lim Siew Suan.

Sepanjang perjalanan dan lawatan kami telah menemui beberapa aspek yang menjadi tumpuan kajian kami. Aspek pertama yang ditemui adalah dari segi bentuk hormat. Bentuk hormat ini telah ditunjukkan oleh dua orang pelajar kursus HMT 329 iaitu Nasibah dan Chan Yan Yi sewaktu berada di dalam bas. Mereka berdua telah bangun dari tempat duduk dan memberi ruang kepada golongan yang lebih tua yang menaiki bas tersebut apabila bas tersebut berhenti mengambil penumpang. Mereka juga bercakap secara sopan kepada orang tua tersebut, seperti “ Tak pe mak cik duduklah”.

Kami tiba di Lebuh Gurney sekitar jam 10.15 pagi dan melawat kawasan sekitarnya. Dalam perjalanan kami ke Lebuh Gurney kami telah menemui aspek penjenamaan semula. Penjenamaan semula atau re-branding atau re-packagin, menurut Kamus Dewan Edisi ketiga membawa maksud ”Pemberian Jenama ( nama tertentu) kepada sesuatu barang yang dihasilkan.”. Lantas penjenamaan semula itu mengikut fahaman biasa adalah memberi nama baru kepada produk yang sama atau nama baru kepada produk yang telah mengalami penambahbaikan. Antara contoh penjenamaan semula yang ditemui ialah Fly Fm yang ditemui pada bahagian Bas Rapid Penang, penjenamaan MAXIS, HONDA, FOLLOW ME dan SHARP di tempat menunggu bas dan penjenamaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang terdapat di Bas Rapid Penang yang tidak mengenakan tambang.

Bagi aspek kesalahan bahasa, masih banyak kesalahan yang dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu. Contohnya kesalahan penggunaan kata “di” sebagai kata sendi nama dan penggunaan kata “di” sebagai imbuhan kata kerja. Antara kesalahan penggunaan kata “di” sebagai imbuhan kata kerja adalah seperti dalam ayat di bawah:-

a) kerja pembersihan sedang di jalankan

Contoh ini telah ditemui di tandas awam yang terdapat di Padang Kota Lama. Penggunaan kata “di” dalam ayat di atas merupakan imbuhan kata kerja yang mana ejaannya perlu dirapatkan. Namun pengguna melakukan kesalahan apabila mengeja perkataan ini secara terpisah. Selain itu kesalahan penggunaan “di” sebagai imbuhan kata kerja ini juga telah ditemui di beberapa papan tanda yang terdapat di sekitar Lebuh Gurney. Sebagai contoh, dalam gambar papan tanda di bawah.



Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Kata “di” dalam penggunaan di papan tanda adalah merujuk kepada imbuhan kata kerja namun telah dieja secara terpisah oleh pengguna.

Bagi kesalahan penggunaan “di” sebagai kata sendi nama pula boleh juga dilihat pada papan tanda yang digunakan oleh penjual di kedai-kedai makan. Antara contoh yang dapat ditemui sewaktu berada dalam perjalanan ke Lebuh Gurney ialah dalam ayat berikut:

a) Kari kepala ikan ada dijual disini.

Dalam ayat di atas penggunaan kata “di” ialah sebagai kata sendi nama iaitu untuk menunjukkan tempat dan sepatutnya dieja secara terpisah, namun dalam ayat yang ditemui, kata “di” dieja secara rapat dengan perkataan “sini” yang menunjukkan tempat. Hal yang sama juga dapat ditemui pada papan tanda yang terdapat di Kota Cornwallis iaitu seperti di dalam ayat dan gambar di bawah :

a) Dilarang memanjat. Tembok diatas bervoltan tinggi.



Gambar 5

Penggunaan kata “di” dalam ayat di atas adalah sebagai kata sendi nama yang sepatutnya dieja terpisah tetapi pengguna mengejanya secara rapat.

Selain itu, kami turut menemui kesalahan ejaan bagi ejaan kata majmuk. Sebagai contoh kata majmuk hak milik. Pengguna mengeja perkataan hak milik ini secara rapat iaitu hakmilik sedangkan perkataan hak milik inimerupakan kata majmuk yang belum mantap dan sepatutnya dieja secara terpisah. Buktinya dapat dilihat dalam gambar di bawah :


Gambar 6




Di samping itu, terdapat juga kesalahan penggunaan kata yang tidak sesuai yang dapat dilihat pada papan iklan dan papan tanda seperti dalam ayat dan gambar di bawah:

a) Happy hair is beautiful hair
Ayat ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai “ rambut yang sihat ialah rambut yang cantik”. Penggunaan kata “happy” dilihat tidak bersesuaian dengan terjemahannya.

Gambar 7

Di samping itu, terdapat juga kesalahan penggunaan kata yang dieja secara terbalik seperti ejaan Ambulans yang terdapat pada satu papan tanda iklan yang terdapat di sebuah kedai yang terdapat di Plaza Gurney iaitu …………… Terdapat juga kedai yang menggunakan satu huruf untuk mewakili dua perkataan yang berbeza. Contohnya dapat dilihat dalam perkataan dan gambar di bawah :

Gambar 8

Gambar 9

Seterusnya ialah analisis terhadap dapatan di Plaza Gurney. Secara keseluruhannya, kebanyakan premis dan kedai yang terdapat di Plaza Gurney merupakan kedai yang eksklusif dan para pekerjanya dilihat berbangsa Cina. Dari segi penggunaan bahasa pula, mereka lebih banyak bertutur dalam bahasa Cina dan ada juga yang bertutur di dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Kami mendapati, pekerja yang sama bangsa seperti pekerja berbangsa Cina, mereka bertutur dengan rakan sekerja menggunakan bahasa Cina. Apabila kami memasuki kedai, mereka menggunakan bahasa Cina untuk bercakap dengan Suan dan mereka menggunakan bahasa Inggeris untuk bercakap dengan pelajar berbangsa Melayu.


Terdapat juga pekerja Cina yang fasih berbahasa Melayu yang ditemui seperti kedai menjual CD dan VCD yang kami kunjungi. Pekerjanya menuturkan bahasa Melayu walaupun Suan ada bersama kami. Selain itu, terdapat juga pekerja yang bertutur menggunakan percampuran kod dan menggunakan bentuk panggilan I dan you. Situasi ini dapat dilihat apabila pekerja Melayu bercakap dengan pekerja berbangsa Cina. Mereka juga dilihat menggunakan percampuran kod iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Selain itu terdapat pekerja berbangsa Cina yang terus bercakap menggunakan bahasa Cina apabila melihat Suan dating ke kedai mereka walaupun kami ada bersama Suan. Pekerja berbangsa Cina ini terus menggunakan bahasa Melayu apabila suan menyatakan bahawa beliau tidak memahami apa yang dikatakannya. Namun, pekerja tersebut memandang pelik kepada Suan dan pekerja tersebut ada berkata dalam bahasa Cina kepada rakannya bahawa “Suan nampak seperti Cina tetapi kenapa tidak faham apabila beliau bercakap Cina”. Situasi ini telah berlaku di kedai menjual alat mekap iaitu Sasa.

Terdapat juga penjual berbangsa Cina yang sukar menterjemahkan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Hal ini telah berlaku di sebuah kedai yang telah dimasuki oleh Huda dan Suan. Pekerjanya pada mulanya bercakap menggunakan bahasa Inggeris tetapi apabila Huda menyatakan bahawa beliau tidak faham, beliau bercakap menggunakan bahasa Melayu tetapi beliau dilihat agak sukar untuk menterjemahkan apa yang dituturkannya dalam bahasa Inggeris sebelum ini kepada Huda apabila Huda bertanya kepadanya “Apa yang awak cakap? Saya tak fahamla.”

Dalam hal lain, terdapat premis terbuka yang penjualnya hanya menuturkan bahasa Cina walaupun terdapat pelanggan berbangsa Melayu yang melihat beliau mempromosi barangan jualannya, namun penjual tersebut langsung tidak menggunakan bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat sewaktu kamimelihat seorang penjual Cina mempromosi barangan elektrik iaitu sebuah seterika elektrik yang canggih. Walaupun terdapat pelanggan berbangsa Melayu di situ, beliau tidak mengendahkannya dan terus bercakap dan mempromosi barangnya menggunakan bahasa Cina.


Bagi aspek penggunaan bentuk panggilan pula, terdapat juga pekerja yang menggunakan bentuk panggilan apabila kami memasuki kedai mereka seperti penggunaan bentuk panggilan Miss, Cik yang digunakan oleh penjual di kedai …… yang dimasuki oleh Huda dan Suan. Namun begitu, tedapat juga penjual yang menggunakan bentuk panggilan dan kata sapaan yang tidak seperti digunakan oleh pekerja di Habib Jewels yang menyapa kami dengan panggilan “adik” dan agen Celcom yang menyapa kami dengan panggilan “kak”. Walaupun begitu, terdapat juga kedai-kedai yang pekerjanya mengabaikan aspek panggilan dan bentuk sapaan ini.

Kesimpulannya, banyak aspek yang dapat dikaji dan diperolehi sepanjang lawatan ini dan kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh pengguna dalam menuturkan bahasa Melayu dari aspek penggunaan bentuk panggilan, kesalahan ejaan. Hal ini perlu diperbaiki dan ditangani bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia kerana banyak pelancong asing yang mengunjungi Pulau Pinang. Kerajan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya seperti mengenakan denda dan kempen bagi mengatasi kesalahan penggunaan bahasa ini.

Hasil pengamatan:
9. Lim Siew Suan
24. Siti Nurhuda Saari
28. Wan Norhana Ismail

No comments:

Post a Comment